MEMBER'S

Friday, December 5, 2014

LADANG SAYUR HARAM DIMUSNAH

Pihak berkuasa mula ‘mengambil alih’ tanah pertanian yang diteroka tanpa kebenaran di daerah ini apabila merobohkan struktur binaan di kebun-kebun yang diusahakan secara haram tersebut. Operasi sulung itu melibatkan 500 anggota daripada 16 agensi, antaranya Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan pegawai dari Pejabat Peguam Negara. Dalam operasi di Blue Valley dekat sini, pihak berkuasa merobohkan struktur binaan seperti tiang besi dan penutup plastik di sebuah kebun yang diteroka secara haram. Kerja-kerja meroboh dijalankan dengan menggunakan tenaga manusia dan peralatan seperti pemotong besi serta jentolak. Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohamed Tajudeen Wahab yang mengetuai operasi tersebut berkata, pihaknya akan mengambil alih tanah-tanah yang diusahakan secara haram berkenaan. Menurut beliau, ada pemilik kebun di situ dikesan telah meneroka tanah lebih dari 11 hektar daripada had dibenarkan atau tiga hingga empat kali ganda daripada sepatutnya. “Kebun ini sudah beroperasi lebih empat tahun dan telah melabur lebih RM10 juta. “Kita telah merobohkan struktur binaan di atas tanah haram dan kita akan mengambil alih tanah ini. “Tindakan merobohkan struktur binaan di sini adalah mengikut undang-undang di bawah Seksyen 425/426 Kanun Tanah Negara,” katanya ketika ditemui hari ini. Dalam pada itu, Mohamed Tajudeen mengakui, pihak berkuasa berdepan masalah untuk merobohkan struktur binaan terutama daripada besi. Katanya, ini kerana struktur yang dibina sukar untuk dirobohkan jika menggunakan peralatan biasa seperti pemotong besi sebaliknya perlu menggunakan jentera berat. “Ini mungkin menyebabkan operasi mengambil alih semua tanah haram di daerah ini memerlukan masa lebih lama daripada tempoh tiga bulan yang ditetapkan. “Selain itu kejayaan operasi juga bergantung kepada keadaan cuaca,” jelasnya. Operasi tersebut turut menahan 20 pekerja warga asing untuk pemeriksaan dokumen. Mengenai usaha menggempur pendatang asing tanpa izin (PATI) yang membanjiri kawasan tanah tinggi itu, Mohamed Tajudeen berkata, operasi akan dijalankan secara berterusan. “Kita akan terus memburu mereka sehingga Cameron Highlands bebas daripada PATI,” tegasnya.

No comments:

Post a Comment