MEMBER'S

Friday, November 28, 2014

MISTERI MB AZMIN

RAMAI yang terkejut Langkah Kajang berakhir dengan Azmin dan bukannya Azizah sebagai MB Selangor.
Bagi sesiapa yang mengetahui 'keakraban' Anwar-Azmin memang daripada awal menjangkakan sebenarnya Langkah-2A adalah untuk Azmin.
Begitu kelicikan politik Anwar-Azmin yang langsung tidak dihidu oleh sesiapa kecuali mereka yang kenal benar dengan 2A ini.
Anwar sanggup 'mengatur' perang dengan Pas dan Istana, sementara membisukan Azizah dengan strategi licik.
Anwar tahu jika dia terus mengumumkan Azmin pengganti Khalid, Azizah akan membantah keras.
Kelicikan Anwar ialah dia tahu mana isu itu akan 'landing'.
Dia tahu Azizah tidak akan diterima sebagai MB sama ada oleh Istana mahupun Pas.
Jadi dia menunjukkan kesungguhan mengumumkan Azizah sebagai calon MB dengan pengetahuan bahawa ia akhirnya akan ditolak, sambil memberitahu Azmin supaya 'play cool'.
Sebab itu usaha dibuat supaya Pas yang menamakan Azmin bukan PKR. Dan Pas terperangkap dengan mainan itu apabila Hadi Awang sendiri yang mengusulkan nama Azmin.
Sebab itu kaum Anwarinas bertakbir sakan apabila Hadi yang usulkan nama Azmin dalam mesyuarat Pas Pusat.
Sekarang Azizah tak boleh merajuk sebab Anwar nampak sudah berusaha keras untuk menamakan dia sebagai MB.
DAP pula menarik nafas lega! Daripada bagi ustaz Pas jadi MB lebih baik Azmin.
Kelicikan Langkah Kajang ialah apabila mereka berjaya meyakinkan UMNO bahwa kalau bubar DUN pun UMNO tidak akan menang, malahan mungkin hilang banyak kerusi lagi.
Ini menyebabkan UMNO memberi isyarat bahawa ia tidak bersedia menghadapi PRN!
Dan piala terbesar Langkah 2A ini ialah apabila pimpinan tertinggi UMNO berjaya diyakinkan bahawa Azmin adalah calon terbaik untuk penyelesaian kemelut Selangor.
Penglibatan dua orang bergelar Tan Sri yang dikatakan mempunyai talian dengan Istana melobi keras untuk Azmin menjadi MB dikatakan pengunci Langkah 2A.
Kononnya, perjumpaan mereka dengan pimpinan tertinggi UMNO Khamis lepas membawa mesej bahawa Putrajaya tidak ada bantahan jika Azmin yang dilantik sebagai MB.
Jadi pihak Istana sudah tiada pilihan. Sebenarnya Istana sudah melakukan yang terbaik.
Maklumat sahih memberitahu Tuanku telah memberi tawaran kepada ADUN Pas untuk menerima lantikan sebagai MB.
Seorang kononnya berkata semasa diinterview: "Patik ada penyakit dan tak boleh menghadapi tekanan" dan seorang lagi memberi alasan "tak sanggup terima cabaran".
Bagi Tuanku sifirnya mudah. Perkara 53 memberi kuasa kepada Tuanku melantik MB daripada mereka yang pada pandangan Tuanku mendapat sokongan majoriti ADUN.
Pas mempunyai 15 ADUN. Dan dengan sokongan ADUN UMNO (12 orang) dicampur Bebas (Tan Sri Khalid) menjadikan 28 orang. PKR pula ada 13 dicampur DAP 15 juga menjadi 28.
Tetapi jika undi dibuat, gabungan PKR-DAP akan tinggal 27 kerana Hannah Yeoh sebagai Speaker tidak boleh mengundi.
Atas dasar itu, tawaran dikemukakan kepada ADUN Pas. Malangnya, mereka mahu mendapat mandat jelas daripada muktamar agung. Sebab itu tarikh pengumuman dibuat hanya selepas muktamar.
Malangnya Muktamar Agung Pas tidak memberi mandat yang jelas dan tegas untuk ADUN mereka menerima jawatan MB.
Walaupun ada cubaan daripada Dewan Ulama untuk usul itu dibahas dan diluluskan, namun perwakilan gagal memberikan mandat yang diperlukan.
Sebaliknya menyerahkan kepada Tuanku untuk memutuskannya, ditambah dengan kenyataan jawatan MB Selangor adalah hak PKR.
Sebab itu Tuanku tiada pilihan. Azizah tidak boleh diterima. Pas sendiri tidak tegas dan jelas. UMNO pula tidak bersedia.
Dan Putrajaya pula, kononnya atas usaha gigih dua Tan Sri itu, memberi mesej boleh menerima Azmin.
Maka Tuanku berakhir dengan kedudukan tiada pilihan melainkan terpaksa melantik juga Azmin sebagai MB.
Sebab itu saya tidak terkejut setelah berhempas pulas berbulan lamanya menamakan Azizah, setelah berperang dengan Istana dan Pas, setelah memecat Tan Sri Khalid kerana tidak akur arahan parti memberi laluan kepada Azizah, akhirnya dalam tempoh tak sampai 12 jam pengumuman oleh Istana menamakan Azmin, Majlis Pimpinan Tertinggi PKR bermesyuarat dipengerusikan Anwar membuat U-Turn menerima pelantikan Azmin.
Dan yang paling klasik, Azizah membuat kenyataan menarik balik pencalonan dirinya sebagai MB.
Begitu liciknya Langkah 2A!
Dan sekarang, sudah pasti Azmin akan melantik semula Anwar sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.
Dan sudah pasti mereka akan memerah fikiran bagaimana wang simpanan tunai RM3.2 bilion yang dikumpul oleh Tan Sri Khalid mahu dibelanjakan.
Dan yang pastinya, 2A ini mempunyai matlamat yang jelas - Anwar tidak boleh masuk penjara, dan Anwar mesti jadi PM ke-7.
Yang akan termenung dan ternganga nanti ialah UMNO, Pas dan Azizah!

MH 370 TERDAMPAR DI SUMATERA ?

Pengarah Program Operasi Pencarian MH370 Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), Peter Foley mendakwa serpihan pesawat Malaysia Airlines (MAS) dijangka terdampar di kawasan pantai setelah dibadai ombak dan kemungkinan besar terdampar berhampiran pantai Sumatera. Laman web Mirror.Uk memetik Foley sebagai berkata, beliau percaya serpihan pesawat itu daripada jenis Boeing 777 akan bergerak ditolak ombak ke Indonesia dan jika perkara itu benar, segala misteri tentang kehilangan pesawat itu bakal terjawab. “Sesuatu (daripada pesawat MH370) pasti akan terdampar di kawasan pantai dan kemungkinan besar di kawasan pantai di Sumatera. Kami dimaklumkan banyak orang telah menemui objek pelik di kawasan pantai dan menyerahkannya kepada polis tempatan. “Kami kemudian menyerahkan objek berkenaan kepada Boeing untuk dikenal pasti, namun sehingga kini tiada sebarang berita positif diterima tentang pesawat itu. Objek yang berada di laut mengambil masa lama untuk terdampar di pantai setelah dibadai ombak,” jelas Foley. Kata Foley, dua buah kapal masih menjalankan kerja-kerja mencari pesawat MH370 di dua buah kawasan yang telah dikenal pasti, menggunakan peralatan pengimbas sonar. Jelasnya, 40 orang krew bekerja di atas kapal berkenaan 24 jam secara bergilir-gilir bagi memastikan usaha mencari dapat dijalankan dengan lancar. “Ada kalanya cuaca di laut begitu buruk, tetapi kami percaya kami akan mendapat jawapan misteri tentang kehilangan (MH370) ini. Penting untuk semua pihak mengetahui apa yang sebenarnya telah berlaku kepada pesawat tersebut,” ujar Foley. Kehilangan pesawat MH370 hampir memasuki sembilan bulan sejak dilaporkan hilang pada 8 Mac lalu, ketika melakukan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 orang penumpang dan anak kapal.

IMEJ BERSIH

Setiap pemimpin UMNO perlu membawa imej yang bersih jika mahu parti itu kembali mendapat kepercayaan rakyat. Mat Razi Mat Ail Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tumpat, Mat Razi Mat Ail berkata, rakyat mahukan seorang pemimpin yang bersifat sederhana, ikhlas dan jujur dalam corak kepimpinannya. “Malah jika mereka berpegang kuat dan tidak melencong daripada landasan agama, sudah tentu mereka akan lebih diterima dan dipercayai oleh rakyat. “Setiap pemimpin itu ada binaannya sendiri. Alhamdulillah, rakyat dapat menerima saya walaupun pertama kali dicalonkan (sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri) untuk bertanding dalam pilihan raya,” katanya kepada Utusan Malaysia sempena Perhimpunan Agung UMNO 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini. Mat Razi menjadi tumpuan dalam perhimpunan kali ini selepas beliau disebut oleh Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Taklimat Presiden kelmarin sebagai contoh pemimpin mempunyai perawatakan baik dan disenangi rakyat. Malah nama beliau turut disebut-sebut dalam perbahasan wakil Pemuda UMNO sempena perhimpunan agung sayap itu semalam yang antaranya menyifatkan beliau sebagai pemimpin pilihan rakyat kerana mempunyai latar belakang agama yang menyerlah. Pengiktirafan terhadap karakter disenangi rakyat yang dibawa oleh Mat Razi itu juga menjadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor pada September lalu sebagai model dan rujukan untuk parti itu berdepan Pilihan Raya Umum Ke-14. Dalam PRK itu, Mat Razi yang dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar akibat kanser hati, mencatat kemenangan besar iaitu dengan majoriti sebanyak 2,635 undi berbanding 1,736 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

AKTA HASUTAN KEKAL DAN DIPERKUKUHKAN

Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan Akta Hasutan 1948 tidak akan dihapuskan sebaliknya diperkuat dan diperkukuhkan sekurang-ku­rangnya dalam dua perkara. Beliau berkata, dua peruntukan khas yang akan dimasukkan, pertama melindungi kesucian agama Islam dan tidak boleh menghina agama-agama lain serta kedua tindakan keras ke atas sesiapa yang cuba menghasut supaya Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia. “Ertinya lagi, apa-apa jua perkataan, perbuatan mahupun ucapan yang bersifat menghasut serta menghina Islam, Melayu dan raja-raja akan kita halang dan kita tentang habis-habisan,’’ tegas beliau ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2014, di sini hari ini. Najib yang juga Presiden UMNO berkata, beliau membuat keputusan ini setelah mendengar pendapat dan cadangan daripada Timbalan Presiden, Wanita, Pemuda, Puteri, usul-usul daripada Bahagian, keresahan suara-suara akar umbi, serta pandangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Sebelum itu satu tayangan video yang memaparkan siri penghinaan terhadap agama Islam, orang Melayu dan institusi raja-raja Melayu dipertontonkan kepada orang ramai di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra. Desakan supaya Akta Hasutan 1948 dikekalkan mula kedengaran setelah timbul ura-ura akta tersebut akan digantikan Akta Keharmonian Nasional dua tahun lalu. Pelbagai pihak termasuk NGO secara terbuka menentang cadangan tersebut rentetan daripada pelbagai insiden penghinaan ke atas agama Islam, orang Melayu dan raja-raja Melayu. Pada masa yang sama parti-parti pembangkang dan NGO propembangkang turut berkempen agar akta berkenaan dihapuskan sehingga Majlis Peguam mengemukakan satu draf akta yang disediakan oleh badan itu sendiri. Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri kelmarin turut menegaskan perlunya akta itu dikekalkan dengan beberapa penambahbaikan bagi menjaga perpaduan dan keharmonian negara.