MEMBER'S

Thursday, December 4, 2014

KAJANG SINONIM DENGAN BANJIR

Pelbagai teori serta cadangan dikemukakan dan tindakan dilakukan oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ). Menaik taraf Sungai Jelok rupanya bukan jawapan supaya kejadian banjir kilat tidak berulang. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang yang baru hanya mampu melawat setiap kali kejadian berlaku. Belum sempat bertindak banjir baharu datang lagi. Ramai berpendapat kejadian disebabkan oleh pembangunan yang tidak dirancang dengan teliti. Pembangunan tidak dapat dielak. Ia akan terus pesat berkembang selagi keadaan ekonomi mengizinkan. Banjir bukan disebabkan Sungai Jelok yang tidak mampu menampung air yang banyak ketika hujan lebat. Sebaliknya Sungai Langat yang merupakan tempat aliran keluar semua anak sungai dan perparitan di sekitar Hulu Langat termasuk Kajang tidak dapat menampung jumlah air yang masuk. Ini kerana dasarnya telah cetek oleh perbuatan manusia yang sering menjadikan sungai sebagai tong sampah. Apabila Sungai Langat telah penuh, sungai-sungai lain turut menjadi tepu dan mula melimpahi kawasan yang rendah. Menaik taraf saliran sungai yang mengalir ke Sungai Langat bukan jaminan dapat mengelakkan banjir dari berulang di Bandar Kajang. Kerajaan Selangor patut bertanggungjawab dengan mendalamkan Sungai Langat supaya semua rangkaian anak sungai dan perparitan dapat mengalirkan air dengan lancar. 

No comments:

Post a Comment