MEMBER'S

Friday, January 2, 2015

AKIBAT KERAKUSAN TANGAN-TANGAN MANUSIA

ALAM sedang bersuara adalah nyata. Bala diturunkan Allah juga adalah nyata. Kedua-duanya adalah benar. Bukan tujuan saya mahu membuat andaian. Tapi sebagai manusia dan orang Islam yang percayakan qada dan qadar, sesuatu yang berlaku ada puncanya dan sebab musababnya. Ketentuannya telah ditetapkan. Sebagai seorang wartawan dan bukan alim ulama - seperti kebanyakan orang sekarang - saya mahu melihat mengenai soal alam. Saya pernah menulis mengenai kemusnahan alam di taman botani negara Bukit Cahaya Seri Alam di Shah Alam satu ketika dahulu. Kemusnahan akibat kerakusan manusia cukup hebat sekali. Tidak pernah-pernah taman pertanian Bukit Cerakah itu dinaiki air lumpur setinggi tujuh ke lapan meter, namun ia berlaku pada masa itu. Hasil bedah siasat yang dijalankan ia adalah akibat pembangunan tidak teratur di satu kawasan baharu yang dibuka oleh kerajaan Dr. Khir Toyo pada masa itu dikenali sebagai Seksyen U10. Bukit-bukit ditarah, hutan ditebang dan tanah-tanah dilukai. Pendedahan itu telah menarik perhatian nasional. PM ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi terpaksa campur tangan. Dr. Khir yang ketika itu sedang berada di luar negara terpaksa bergegas pulang. Pendek kata, isu alam adalah isu manusia. Kita hidup bersama-sama alam. Jangan biarkan alam bersuara. Jika ia bersuara bermakna ia sedang murka. Alam boleh bertindak kejam kepada kita jika kita menjahanamkannya.

Banjir besar di Cameron Highlands juga adalah akibat perbuatan kejam manusia ke atas alam. Hutan ditarah ikut suka. Pihak peniaga terlalu rakus. Pihak berkuasa pula tidak menjalankan amanah yang diberikan. Ingatlah alam boleh menjatuhkan sesebuah pesawat yang dikatakan paling moden sekali pun. Ia juga membunuh ratusan ribu nyawa manusia seperti genap 10 tahun tsunami. Kejadian banjir terburuk di Kelantan dan beberapa negeri lain harus dijadikan iktibar. Warna airnya sudah menunjukkan ia membawa tanah-tanih yang terluka. Banjir ke Kelantan lazimnya dibawa air dari kawasan hulu sejauh beratus batu. Jika di hulu keadaannya sudah tenat, maka tenatlah di hilirnya. Itu pasal kawasan Manek Urai paling teruk, kerana ia berada di hulu. Saya tidak mahu membuat andaian, kerana alim ulama mengatakan ia adalah takdir. Namun sudah banyak contoh yang menunjukkan bencana alam yang terjadi kepada manusia adalah akibat daripada kerakusan mereka sendiri. Seorang rakan, rakyat Kelantan yang dipanggil sebagai Pok Nik menulis SMS kepada saya. Renungilah tulisan beliau itu. “Masa saya kecil-kecil dulu. Waktu banjir kita gembira bermain air. Kita mandi-manda dari pagi hingga ke petang. Selagi mata tidak merah kita tidak naik ke rumah. Tetapi hari ini air banjir warna teh susu yang mengalir direct dari Ulu Kelantan dari Sg. Lebir, Sg. Galas, Sg. Kemubu dan Sg. Kelantan AKIBAT KERAKUSAN YANG MEMAKAN BALAK DI HULU KELANTAN. Habis bukit hutan belukar dikekah, ditarah dan dimamah kerana mahukan wang! Sekarang jangan salahkan sesiapa. BUKAN BALA. Tetapi insaflah . Inilah akibat kerakusan dan ketamakan manusia. Tk.” Namun atas alasan politik atau keegoan - pelbagai alasan diberikan. Pemimpin merasakan seolah-olah merekalah yang terhebat. Merekalah yang betul. Dan alam yang mengamuk sekarang seolah-olah tiada kaitan dengan mereka. Syabas rakyat Malaysia! MALAM kelmarin saya bersama-sama sukarelawan Persatuan Alumni UiTM Malaysia ke Pangkalan TUDM di Subang. Jam menunjukkan pukul 8 malam. Pengawal di pintu pagar mengarahkan kami mendaftarkan diri. Saya menulis nama dan tujuan kami di sebuah buku. Sudah panjang senarai buku. Tujuan: Menghantar barangan bantuan banjir. Itulah tujuan yang lain-lain pun. Pengawal kemudian mengarahkan kami tunggu sebentar di pondok pengawal. Barangan terlalu banyak, katanya dan semua pemberi bantuan kena beratur panjang. Lori dan treler panjang kelihatan berhenti di tepi jalan. Di badannya tertulis syarikat beras dan syarikat-syarikat gedung pasar raya hyper. Sementara kereta-kereta 4WD kepunyaan perseorangan dan NGO juga panjang beratur.

Rakyat Malaysia cukup prihatin. Jika sebelum ini hanya NGO-NGO tertentu sahaja yang menjalankan khidmat bantuan ini, kali ini, pada magnitud banjir kali ini, semua pihak bersatu hati. Malah saudagar membeli-belah pun turut membantu menyediakan kemudahan pembelian barangan dengan harga bencana. “Jangan bimbang Mydin memberi harga (diskaun) untuk mangsa-mangsa banjir. Kami cukup prihatin,” kata tauke Mydin, Datuk Amer. Sehingga tulisan ini ditulis, gudang di TUDM Subang masih sibuk. Ada juga bekalan dihantar melalui jalan darat - melalui lori, bas yang membawa bersama-sama sukarelawan serta pikap persendirian. Malah AirAsia dan Malindo Air juga menyediakan penghantaran barangan dan sukarelawan secara percuma. “Ini adalah khidmat ikhlas kami. Tolong uar-uarkan kepada rakan-rakan sukarelawan yang mahu menghantar barangan atau sukarelawan. Kami akan terbangkan mereka ke mana-mana sahaja termasuk ke Sabah atau Sarawak,” kata Pengerusi Eksekutif AirAsia, Kamarudin Meranun. Semoga AirAsia bertenang dalam kedukaan yang berlaku ke atas pesawatnya di Indonesia. Kita semua turut bersimpati. Tahniah rakyat Malaysia. Syabas anda semua. Tiada siapa pun yang mahu melihat dengan mata putih bangsa kita ditimpa bala. Tiada kerajaan yang mahu mengetepikan rakyatnya dalam musibah sebegini. Ketepikan soal kepartian yang sempit. Ketepikan soal kesensitifan kedaerahan. Jangan sebarkan khabar-khabar angin yang bukan-bukan. Jangan dipersenda media arus perdana. Tanpa kami, kita semua akan berada di bawah tempurung.

 Hanya akhbar Melayu kelihatan memberi liputan tiada terhad. Mungkin kerana mangsanya ialah rata-rata kaum itu. Akhbar organ parti pula sudah-sudahlah membuat analisis yang bukan-bukan. Sebenarnya tanyalah diri sendiri dahulu. Buatlah post mortem di Bilik Gerakan Bencana Alam Negeri terlebih dahulunya. Mengapa koordinasi bantuan lambat? Akhir sekali syabas rakyat Malaysia - walau di mana sekali anda berada - kita tetap bersatu-padu.

No comments:

Post a Comment