MEMBER'S

Friday, November 28, 2014

IMEJ BERSIH

Setiap pemimpin UMNO perlu membawa imej yang bersih jika mahu parti itu kembali mendapat kepercayaan rakyat. Mat Razi Mat Ail Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tumpat, Mat Razi Mat Ail berkata, rakyat mahukan seorang pemimpin yang bersifat sederhana, ikhlas dan jujur dalam corak kepimpinannya. “Malah jika mereka berpegang kuat dan tidak melencong daripada landasan agama, sudah tentu mereka akan lebih diterima dan dipercayai oleh rakyat. “Setiap pemimpin itu ada binaannya sendiri. Alhamdulillah, rakyat dapat menerima saya walaupun pertama kali dicalonkan (sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri) untuk bertanding dalam pilihan raya,” katanya kepada Utusan Malaysia sempena Perhimpunan Agung UMNO 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini. Mat Razi menjadi tumpuan dalam perhimpunan kali ini selepas beliau disebut oleh Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Taklimat Presiden kelmarin sebagai contoh pemimpin mempunyai perawatakan baik dan disenangi rakyat. Malah nama beliau turut disebut-sebut dalam perbahasan wakil Pemuda UMNO sempena perhimpunan agung sayap itu semalam yang antaranya menyifatkan beliau sebagai pemimpin pilihan rakyat kerana mempunyai latar belakang agama yang menyerlah. Pengiktirafan terhadap karakter disenangi rakyat yang dibawa oleh Mat Razi itu juga menjadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor pada September lalu sebagai model dan rujukan untuk parti itu berdepan Pilihan Raya Umum Ke-14. Dalam PRK itu, Mat Razi yang dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar akibat kanser hati, mencatat kemenangan besar iaitu dengan majoriti sebanyak 2,635 undi berbanding 1,736 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

No comments:

Post a Comment