MEMBER'S

Friday, November 28, 2014

AKTA HASUTAN KEKAL DAN DIPERKUKUHKAN

Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan Akta Hasutan 1948 tidak akan dihapuskan sebaliknya diperkuat dan diperkukuhkan sekurang-ku­rangnya dalam dua perkara. Beliau berkata, dua peruntukan khas yang akan dimasukkan, pertama melindungi kesucian agama Islam dan tidak boleh menghina agama-agama lain serta kedua tindakan keras ke atas sesiapa yang cuba menghasut supaya Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia. “Ertinya lagi, apa-apa jua perkataan, perbuatan mahupun ucapan yang bersifat menghasut serta menghina Islam, Melayu dan raja-raja akan kita halang dan kita tentang habis-habisan,’’ tegas beliau ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2014, di sini hari ini. Najib yang juga Presiden UMNO berkata, beliau membuat keputusan ini setelah mendengar pendapat dan cadangan daripada Timbalan Presiden, Wanita, Pemuda, Puteri, usul-usul daripada Bahagian, keresahan suara-suara akar umbi, serta pandangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Sebelum itu satu tayangan video yang memaparkan siri penghinaan terhadap agama Islam, orang Melayu dan institusi raja-raja Melayu dipertontonkan kepada orang ramai di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra. Desakan supaya Akta Hasutan 1948 dikekalkan mula kedengaran setelah timbul ura-ura akta tersebut akan digantikan Akta Keharmonian Nasional dua tahun lalu. Pelbagai pihak termasuk NGO secara terbuka menentang cadangan tersebut rentetan daripada pelbagai insiden penghinaan ke atas agama Islam, orang Melayu dan raja-raja Melayu. Pada masa yang sama parti-parti pembangkang dan NGO propembangkang turut berkempen agar akta berkenaan dihapuskan sehingga Majlis Peguam mengemukakan satu draf akta yang disediakan oleh badan itu sendiri. Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri kelmarin turut menegaskan perlunya akta itu dikekalkan dengan beberapa penambahbaikan bagi menjaga perpaduan dan keharmonian negara.

No comments:

Post a Comment