Sudah beberapa kali sebenarnya Wardina Safiyyah muncul dengan isu kontroversi. Dan sebelum ini, walaupun Wardina Safiyyah dilihat bersama-sama Nik Abdul Aziz mahupun kepimpinan PAS, kebanyakan blogger tidak memberikan perhatian sangat kerana seperti yang diperkatakan, para pemimpin PAS termasuklah Nik Abdul Aziz bukanlah musuh yang wajar dibenci, sebaliknya mereka hanya ‘ditegur’ dan adakalanya lebih banyak bersifat ‘disakat’.
Namun apabila Wardina Safiyyah memilih untuk muncul bersama Nik Nazmi dan kepimpinan PKR, dia sebenarnya telah melakukan satu kesilapan paling besar. Kebanyakan blogger pro-UMNO sebenarnya tidak boleh menerima langsung mana-mana pemimpin PKR walaupun mereka cuba menunjuk baik atau cuba jadi malaikat.
Di situlah kelemahan Wardina Safiyyah. Satu perkara yang mungkin Wardina Safiyyah kurang mencermati ialah, majikannya adalah Media Prima Berhad. ‘Majikan’ Media Prima Berhad pula adalah UMNO yang memiliki saham terbanyak dalam konglomerat media itu. Secara tidak langsung, Wardina sebenarnya adalah kakitangan UMNO.
Walaupun diberikan kebebasan dan tidak terlalu menonjol sokongan kepada pihak yang diminati, Wardina Safiyyah seharusnya lebih berhati-hati dalam hal ini. Mengatakan bahawa dia bukanlah orang biadap yang akan menolak bertemu dengan Azmin Ali sebenarnya tidak cukup untuk mempertahankan dirinya daripada sebarang tuduhan dan syak wasangka. Dan mengatakan Nik Nazmi telah MEMPERDAYAKANNYA dengan membawa dia bertemu dengan Azmin Ali juga, tidak cukup untuk menunjukkan dia tidak ‘bersalah’ dalam hal ini.
Penulis sebenarnya tidak menyalahkan Wardina Safiyyah. Mungkin dia memikirkan sebagai seorang selebriti apatah lagi ada permintaan ke atas dirinya, Wardina Safiyyah tampil dalam majlis yang disertai oleh kawan baiknya, Nik Nazmi. Bagaimanapun, sebagai seorang selebriti yang bertanggungjawab, Wardina Safiyyah tentu sekali perlu MEMBUAT SARINGAN yang lebih ketat dan menjangkakan berita apa yang akan keluar tentang dirinya.
Justeru apabila Wardina Safiyyah membuat keputusan untuk ‘bercuti’ selama dua bulan dalam satu sidang media dengan wajah tertekan, sebenarnya ia tidak akan mengurangkan kemelut yang sedang dihadapinya, kecuali dia benar-benar bercuti dan membetulkan semula persepsi buruk yang sedang dihadapinya.
Kecualilah kalau Wardina Safiyyah benar-benar berminat dengan Pakatan Rakyat dan menyokong BERSIHT..
No comments:
Post a Comment