MEMBER'S

Wednesday, June 3, 2015

"NOTHING TO HIDE"

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bakal tampil menjawab segala persoalan yang bermain di minda rakyat menerusi sesi dialog terbuka bersama NGO pada 5 Jun ini.
Dialog bertema ‘Nothing To Hide’ itu akan dihadiri 1,500  wakil NGO seluruh negara yang dianjurkan Sukarelawan Peguam (Sukaguam).
Pengerusi Sukaguam, Datuk Khairul Anwar Mamat berkata, program julung kalinya itu menjadi platform kepada NGO dan rakyat bertanyakan pelbagai isu semasa dan soal kepimpinan kepada Perdana Menteri.
“Sesi dialog ini memberi peluang dan ruang kepada NGO bertanyakan apa jua soalan berkaitan isu yang timbul berkenaan kerajaan. Sebarang isu termasuk soal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST), isu Tabung Haji dan pelbagai lagi boleh ditanya.
“Tiada halangan dan peluang ini membuktikan bahawa Perdana Menteri sedia menjawab segala persoalan. Saya harap rakyat Malaysia menggunakan ruang ini sebaiknya bertanyakan pelbagai isu,” katanya pada sidang media di Pejabat Sukaguam, semalam.
Beliau berkata, Perdana Menteri telah mengesahkan kehadiran untuk bersama-sama pada sesi dialog itu sejak dua minggu lalu.
Katanya, 1,500 wakil  NGO yang terpilih telah mengesahkan kehadiran dan sambutan diterima begitu menggalakkan.
“Kita hantar pada semua pihak, ada juga yang tidak mendapat jemputan, tetapi meminta untuk hadir pada program itu.
“Kita juga akan pertimbangkan layar skrin gergasi untuk orang ramai di luar dewan,” katanya.
Menurut Khairul Anwar sesi dialog bersama NGO memberikan peluang kepada mereka menjelaskan perkara yang menjadi persoalan kepada ahli-ahli yang dinaungi NGO ini. 
“NGO terlibat bukan sahaja terhad kepada politik sahaja, malah NGO dalam pelbagai bidang.
“Mereka ini  mempunyai ramai ahli dan secara tidak langsung mereka boleh jelaskan dan sebarkan input yang diperoleh,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya permintaan begitu menggalakkan pada sesi dialog ini, pihaknya berhasrat menjelajah setiap negeri untuk program seterusnya.
Dalam pada itu, menjawab pertanyaan sama ada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijemput hadir, Khairul berkata pihaknya tiada halangan sekiranya Dr Mahathir berminat untuk hadir pada sesi dialog itu.
“Ini adalah forum terbuka dan kalau Dr Mahathir berminat, beliau boleh datang,” katanya.
Sesi Dialog PM bersama NGO akan berlangsung dari 9 pagi hingga 1 petang pada Jumaat ini di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra.

No comments:

Post a Comment